Quantcast
Channel: AKU ISLAM
Viewing all articles
Browse latest Browse all 112

Bokeh Episod 2 : Usaha Umpama Angin?

$
0
0

Blog Aku ISLAM
Blog Aku ISLAM - La Tahzan. Jangan bersedih kerana Allah ada!

angin dalam diri
Jadikan usaha kita seperti angin. Tak nampak, tapi dapat dirasai..

Oleh : Nur Hidayah Ismail

Jika angin mampu menjadi posmen percuma, sudah lama rindu ini dikirimkan kepada insan yang disayangi. Biar angin rindu itu meniup lembut di hati mereka.”

Jambatan kayu Dataran Bintang yang direka khas di kampusnya menjadi lokasi persinggahan sementara menunggu Aqila membeli makanan di kafe.

“Jadikan usaha kita seperti angin. Tak nampak, tapi dapat dirasai.”

Terngiang-ngiang bicara Ustazah Azlina sewaktu sekolah menengah dulu. Terasa angin menampar lembut wajahnya ketika itu. Pada masa yang sama hatinya berbisik sendiri.

‘Ya, Allah… Tiuplah angin rindu ini hingga dirasai oleh insan yang kusayangi.’

Kelopak mata Sodrina dikatup rapat. Membayangkan seketika angin rindu yang dikirimkan sebentar tadi mengetuk pintu hati ustazah kesayangannya.

“Sodrina! Sodrina!”

Sodrina buka mata seraya memusingkan kepalanya 90 darjah ke sebelah kanan. Suara lantang milik Aqila jelas kedengaran di gegendang telinganya walaupun jarak antara mereka berdua lebih kurang 70 kaki.

“Huh! Huh!” Tercungap-cungap Aqila mendapatkan Sodrina.

Dua plastik berisi Nasi Goreng Pattaya dan Mee Goreng Seafood digenggam erat. Dia ikut serta duduk di sebelah teman baiknya.

“Berita apa lagi yang awak dengar?” soal Sodrina. Faham benar tingkah laku Aqila yang cepat menerima berita di seluruh kampus itu.

Aqila tersengih.

“Kau ada dengar tak? Pensyarah nak bagi feedback assignment esok.”

“Jadi?” soal Sodrina, ringkas.

Aqila mencebik. “Ya, lah. Kau memang sah dapat A+. Aku ini entahlah.” Dia mengeluh.  “Aku paling pantang ada feedback assignment daripada pensyarah. Bagitahu sajalah gred. Tak perlu banyak komen.”

Sodrina tersenyum, menggeleng sambil melirik wajah Aqila yang berkerut-kerut sejak tadi. Dia tahu benar gadis Melanau itu tidak suka mendengar ulasan mengenai tugasan projek yang telah dihantar sebulan yang lepas.

“Komen itu mendewasakan kita,” balas Sodrina, lembut.

“Hmmm…” Aqila mengalah sebaik sahaja mendengar satu ayat yang keluar dari kerongkong temannya itu.

“Semester lepas tak ada pun feedback. Kalau pensyarah komen pun, tak masuk juga dalam otak aku.”

“Tak masuk tu sebab awak tak proses. Tak hadam. Ayat yang tidak dihadam di dalam otak tak akan sampai di lorong hati,” sambung Sodrina, perlahan.

“Analoginya macam ni. Saya kata, wah… cantiknya baju awak hari ini. Kemerah-merahan menampakkan keberanian. Ha… kalau awak rasa dipuji dan berasa bangga, maknanya awak dah hadam kata-kata tadi kat otak sampailah ke lorong hati. Tapi, apa jadi jika awak tak hadam?” Sodrina menduga.

Aqila buat muka cemberut.

“Analogi kedua, saya kata macam ni. Kenapa awak pakai baju merah? Bibir merah entah apa. Nak tarik perhatian lelaki, kah?” Sodrina melihat reaksi Aqila yang tercengang. Takut juga kata-kata itu mengguris hati Aqila.

“Ha… kalau awak hadam kat otak, bukan setakat masuk di lorong hati, malah menikam terus di jantung tu. Tapi, jika awak menafikan kata-kata tu, maknanya awak tak hadam. Jadi, awak tak ada lah rasa sakit hati dengan kata-kata tadi.”

Hati kecil Sodrina yakin bahawa kata-kata yang diungkap kadang kala seperti angin yang menenangkan. Kadang kala juga seperti matahari yang membahang di hati.

Aqila diam sekejap memikirkan dua analogi si penulis. Tidak lama, kata-kata Sodrina dibiarkan berlalu begitu saja. Biji matanya tidak berkedip memandang sesuatu yang bergerak. Dia mula mencut bahu Sodrina yang masih memandangnya.

Sodrina angkat kening seperti bertanya ‘kenapa’?

Aqila menjuih bibir ke hadapan. Ditujukan kepada seseorang yang sedang berjalan menuju ke pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

“Tu…tu…” kata Aqila, masih memuncungkan mulut.

Sodrina mencari-cari kelibat seseorang yang dimaksudkan Aqila. Dia cuba meneka. “Syakira, kan?”

Aqila sudah senyum meleret. “Pergi HEP, mesti ada kes ni!” Nampak benar sudah lama dia tidak menyukai perwatakan Syakira yang selalu lambat menghantar tugasan projek daripada tarikh yang ditetapkan.

Sodrina hanya tersenyum mendengar tekaan temannya.

Baginya, tidak semua orang yang pergi ke HEP mempunyai kes sehingga dilabel sebagai pelajar bermasalah.

Aqila tidak puas hati melihat respons Sodrina yang hanya senyum-senyum itu. Seperti menidakkan sangkaan yang tembus di mulutnya sebentar tadi.

“Sebab aku dengar dia ada plagiat assignment orang lain,” kata Aqila lagi ingin meyakinkan firasatnya kepada Sodrina.

Sodrina melirik Aqila yang sedang merenung anak matanya. Senyum.

“Keberangkalian kata-kata awak adalah sebanyak 50 peratus. Noktah!” Itu saja yang mampu diulasnya.

“Tak dengar… Tak dengar…” kata Aqila, bergurau.

Dia mula bergerak meninggalkan temannya berbaju kurung warna coklat muda itu. Dia faham benar cas husnuzon yang sudah banyak menempel di hati Sodrina.

Kata-kata gadis berbangsa brunei itu begitu lembut menusuk di otak dan hatinya. Dia tidak hairan mendengar respons yang lembut tetapi tegas di mulut gadis yang ingin menjadi penulis itu.

Sodrina masih mengukir senyum di bibirnya. Dia mula menuruti langkah Aqila yang makin laju. Sengaja betul gadis Melanau kacukan Iban itu meninggalkan dirinya yang berjalan macam semut.

Beberapa langkah menapak, kedengaran bunyi ‘Sodrina, ada mesej…’. Bunyi deringan untuk mesej memang sengaja dirakamnya sendiri.

Langkahnya dihentikan seketika. Vivo putih ditarik keluar dari perut beg berwarna putih krim.

Tertera mesej ringkas dan padat daripada…

Kepada,
Nur Sodrina binti Muhammad Adib Ahyar.
Sila jumpa saya di bilik HEP, sekarang.
(p/s : Unit Disiplin)


Jika usaha itu umpama angin,

adakah kita yang mencipta usaha itu mampu melihatnya atau…

hanya merasai kehadirannya saja?

 

Bersambung..

Ini adalah cerpen bersiri yang akan dihantar oleh masa ke semasa oleh Nur Hidayah binti Ismail. Semoga setiap episod yang bakal tersiar nanti akan memberi manfaat kepada pembaca

Bokeh Episod 2 : Usaha Umpama Angin?
Muhamad Naim


Viewing all articles
Browse latest Browse all 112